song..

Tuesday 23 July 2013

Tradisi Sabah Ku...

Penduduk Sabah terdiri dari berbagai-bagai kaum dengan latar belakang kebudayaan masing-masing. Penduduk aslinya terdiri daripada sekurang-kurangnya 30 kumpulan dengan menggunakan lebih dari 50 bahasa dan tidak kurang dari 90 dialek. Di antaranya adalah Kadazandusun, Bajau, Murut, Kedayan, Bisaya, Irranun, Rungus, Kimarang, Kwijau, Lundayeh, Ubian, Binadan, Orang Sungai, Tatana, Tagaas, Brunei, Suluk dan lain-lain.

 Pakaian

Kebanyakan suku kaum di Sabah memilih hitam sebagai warna pakaian traditional mereka. Penggunaan warna hitam asalnya daripada kepercayaan bahawa warna hitam adalah lambang kekuasaan atau warna ketuhanan yang mana dapat melindungi si pemakai daripada makhluk-makhluk halus yang jahat. Ada setengah-tengah pihak mengatakan bahawa penggunaan warna hitam adalah disesuaikan dengan cara hidup dan keadaan semulajadi di waktu itu.

Aksesori

Pada masa lalu, batu akik merah, manik-manik kaca berwarna, kulit kowri,mutiara,butang putih atau cakera yang dibuat daripada cengkerang dan tembaga digunakan untuk menghiasi pakaian lelaki dan perempuan. Pada hari ini, kebanyakan hiasan-hiasan ini diganti dengan manik-manik plastik dan bahan moden yang lain seperti benang emas dan perak, labuci dan benang berwarna. Seperti dahulu, hiasan-hiasan ini masih lagi disertai dengan tali pinggang yang dibuat daripada berbagai-bagai bahan seperti manik cengkerang dan kaca duit syiling perak, tembaga dan logam-logam lain, lapik pinggang yang dibuat daripada rotan berwarna untuk mengetatkan gaun, seluar atau anak baju. Kalung dibuat daripada berbagai-bagai bahan dijadikan hiasan leher dan dada. Gelang juga dipakai untuk menghiasi lengan, pergelangan tangan serta kaki.

Hiasan Kepala

Tutup kepala seperti terendak atau tudung dipakai oleh kaum lelaki dan wanita sebagai pakaian biasa sebagai pelindung dan penahan peluh. Pada majlis-majlis upacara, terendak-terendak yang dipakai adalah lebih indah dan berwarna-warni. Spesialis ritual memakai tutup kepala dan pakaian dengan hiasan yang banyak yang membezakan mereka dari orang biasa apabila mereka menjalankan sesuatu upacara tradisional. Kaum lelaki masih memakai sigah sejak dari dahulu lagi. Sigah atau tanjak ini adalah sekeping kain segiempat yang dipakai dalam berbagai-bagai bentuk mengikut daerah atau asal si pemakai. Kaum wanita pula memakai manik, sisir, tudung dan terendak bergantung pada waktu dan kegiatan yang dilakukan.

Kraftangan

Kraftangan di kalangan masyarakat asli Sabah bermula dalam usaha mereka untuk berteduh/berlindung, menutup tubuh dan mencari makanan dengan cara yang terbaik sekali. Mereka menghasilkan berbagai-bagai barang yang banyak dengan menumpukan kepada fungsi bahan yang dihasilkan dan kurang perhatian pada hiasan. Benda-benda yang dihasilkan meliputi kelengkapan rumah, pertanian dan pemburuan di samping benda untuk kegunaan ritual dan upacara keagamaan. Penghasilan kraftangan mereka bergantung pada sumber alam sekitar dan keperluan dari segi budaya.
Kaum lelaki dan wanita secara tradisi membuat berbagai-bagai jenis kraftangan. Di pedalaman Sabah, sebilangan besar kaum wanita membuat terendak, anyaman tikar, tenunan kain, sulaman, bakul-bakul kecil, nyiru dan benda-benda kecil untuk kegunaan seharian. Kaum lelaki pula membuat bakul yang lebih besar, parang, alat-alat membajak dan memburu, jala dan alat menangkap ikan yang lain dan senjata. Dikalangan masyarakat nelayan tepi pantai, kaum lelaki membuat perahu, ukiran kayu, alat penangkap ikan dan wanitanya menenun dan menyulam kain, mengayam tikar dan lain-lain.


Tarian & muzik

Muzik tempatan sering berkait rapat dengan tarian. Ia juga berfungsi sebagai muzik latar dalam sesuatu majlis upacara. Sesetengah alat lazimnya digunakan oleh orang perseorangan untuk hiburan diri sendiri. Antara tarian-tarian asli yang popular dan dikenali ramai adalah tarian Sumazau, tarian Limbai, tarian Igal Igal, tarian Magunatip, tarian Adai-adai dan tarian Daling-daling.

Upacara

Muzik melambangkan keselarasan tradisional yang wujud di kalangan penduduknya sejak bertahun-tahun. Ia dimain semasa majlis perkahwinan, pertunangan, perayaan menuai, hari ulang tahun pertama kanak-kanak, upacara-upacara keagamaan animisma dan upacara-upacara berkaitan yang penting bagi masyarakat tempatan. Setiap kumpulan etnik mempunyai bentuk muzik yang tersendiri walaupun banyak alat-alat muzik utama merupakan alat yang sama digunakan. Setiap alat dibuat dengan perasan sayang dengan memotong, membentuk dan diuji. Berbagai-bagai gabungan alat-alat muzik mempunyai keistimewaannya sendiri dengan perbezaan dalam segi bentuk, rentak dan nada. Terdapat juga alat-alat muzik tertentu yang hanya digunakan oleh satu kumpulan masyarakat sahaja dan tidak dimain oleh masyarakat yang lain.

Notasi & Alat Muzik

Muzik tradisional Sabah tidak mempunyai sistem not yang tradisional dan seni kata lagu juga tidak bertulis. Semua muzik dan nyanyian diturunkan secara tradisi dari generasi ke generasi. Persembahan muzik boleh dilakukan oleh lelaki dan wanita tetapi sesetengah alat muzik secara tradisi dihasilkan khusus sama ada untuk pemuzik lelaki atau wanita sahaja.
Kebanyakan alat-alat muzik di Sabah dibuat daripada bahan-bahan asli. Sebagai contoh, tongkungon, turali, suling (atau seruling), sompoton, gabang dan togunggak diperbuat daripada buluh. Alat lain seperti gambus, kompang dan gendang diperbuat daripada kulit kambing. Gong dan kulintangan dibuat daripada kayu lembut dan menyerupai gitar panjang bertali tiga yang dibuat daripada giman, sejenis gentian pokok palma.













No comments:

Post a Comment